Tuesday, 10 November 2009

Catatan pengembara – 1 :Islam di Negara bukan Islam

Setiap daripada kita dikurniakan Allah SWT kelebihan dan peluang masing-masing yang pasti lain nilainya di hati kita tersendiri. Pengalaman sahabat-sahabat yang belajar dan berada bertahun di Jordan dan Mesir pasti sangat berharga dan dapat dijadikan sempadan dan teladan bagi kita yang belum pernah ke sana atau menghayati kehidupan masyarakat di sana. Pengalaman adinda Noor Azma yang kini berada di bumi Sudan nun di benua Afrika juga pasti mencoretkan pelbagai kenangan pahit manis tersendiri. Abang Yusri yang berjuang di Lubnan, pasti tak kering idea untuk diceritakan kepada anak-anak kenangan istimewanya di sana.

Begitulah peluang yang Allah kurniakan kepada saya sekeluarga untuk berada selama 3 tahun, Insya Allah di bumi Leicester, United Kingdom ini. Bukan semua kita mempunyai peluang ini. Insya Allah peluang ini akan saya dan keluarga manfaatkan sebaiknya dan menimba sebanyak mana ilmu dan cuba berkongsi dengan para pembaca semua.

Islam merupakan agama kedua terbesar di United Kingdom sejak terbentuknya United Kingdom yang terdiri daripada England, Scotland, Wales dan Northen Ireland. Kebanyakan penganut Islam negara ini merupakan imigran-imigran yang datang ke sini sejak berlakunya kolonisasi pada tahun 1950an. Jumlah penganut Islam di sini semakin hari semakin bertambah berdasarkan pertumbuhan tempat ibadah bagi umat Islam iaitu masjid di negara ini iaitu melebihi 1500 buah dan semakin bertambah.

Masjid Noor, berhampiran rumah, hanya 2 minit berjalan

Masjid Usman, lebih kurang 5 minit berjalan

Kami berasa beruntung dan bersyukur kerana ditakdirkan untuk menetap di Leicester di mana daerah ini merupakan kawasan yang terkenal dengan komuniti Islam yang besar. Di kawasan rumah yang kami diami sahaja mempunyai 3 masjid yang besar dan sangat aktif menjalankan aktiviti seharian. Paling mengkagumkan aktiviti di bulan Ramadhan di sini. Bukan setakat solat terawikh, (moreh tak dak no) aktiviti seperti kuliah, ceramah agama, kelas-kelas tasmi’ Al-Quran dan haffazan begitu giat dijalankan oleh pihak jawatankuasa masjid.

Islamic Da'wah Academic (IDA), juga terletak lebih kurang 2 minit berjalan kaki

10 malam terakhir Ramadhan dimakmurkan oleh penduduk Islam di sini dengan sangat luar biasa sekali. Mereka bergegas ke masjid, bersolat terawikh, beriktikaf dan melakukan pelbagai aktiviti ibadah hinggalah dinihari. Masjid-masjid akan penuh hingga melimpah ke kaki lima dengan kehadiran manusia yang sangat ramai. Mereka berdoa sambil menangis berjurai-jurai airmata ketika bersolat dan di saat imam membacakan doa qunut ketika witir. Keyakinan mengenai kelebihan 10 malam terakhir amat kukuh di hati mereka. Tiada kesibukan bermain mercun menyambut malam tujuh likur, tidak kelihatan kesibukan ibu bapa keluar membeli-belah menyambut hari lebaran. Sesekali terlintas di minda, mungkinkah pemandangan ini dapat dilihat di masjid-masjid dan surau-surau di Malaysia bila kami pulang nanti? Tepuk dada tanya iman…

Di sini juga saya berpeluang menjadi seorang suka rela membantu sebuah badan kebajikan yang dinamakan Islamic Relief (IR). Badan ini sudah menjadi satu badan kebajikan Islam terbesar di dunia yang disegani. Matlamatnya bukan hanya membantu masyarakat Islam tetapi membantu memberi kebajikan kepada mereka yang kesusahan dan miskin di mana sahaja di seluruh dunia. Bertepatan dengan ayat Allah SWT di dalam Surah Al-Maidah ayat 32 yang bermaksud:

“…….. dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya. …………..”

Pertubuhan IR ini menjalankan aktiviti di serata dunia membantu mereka yang sangat memerlukan. Umpamanya di Leicester, IR mempunyai sebuah kedai menerima pelbagai barang-barang terpakai dari masyarakat setempat bagi tujuan kebajikan. Dari sekecil-kecil barang hingga lah sebesar-besar barang seperti perabot terpakai yang didermakan akan ditempatkan di kedai ini, dipamerkan dan dijual semula dengan harga yang sangat murah bagi mengumpul dana bagi operasi IR di serata dunia. Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai badan ini, sahabat-sahabat boleh lah meng‘google’ melalui internet mengenainya.

Di hadapan ibu pejabat Islamic Relief di Birmingham

Satu pengalaman menarik ketika bersama Islamic Relief apabila kami para sukarela dibawa ke ibu pejabat IR di Bandar Birmingham yang mengambil masa hampir 45 minit dari Leicester. Kami di beritahu oleh seorang pegawai di situ, terdapat perbezaan yang amat ketara barang-barang terutamanya pakaian yang dikumpulkan di kawasan orang berkulit putih (baca non-Muslim) dan barang-barang yang dikumpulkan di kawasan masyarakat lain termasuklah kawasan ‘black’ (Somalia, Africa, Pakistan, India dan lain-lain yang majoriti penduduknya adalah Islam).

Pakaian yang diperolehi dari kawasan ‘putih’ ini biasanya akan dibasuh, dilipat dan dimasukkan dengan baik ke dalam beg plastik sebelum didermakan, dan boleh dikatakan 100% pakaian yang didermakan berada di dalam keadaan baik dan masih sempurna untuk diguna semula oleh orang lain. Begitu juga dengan barangan lain seperti buku-buku, mereka hanya akan mendermakan buku-buku yang masih elok dan berada dalam keadaan yang baik untuk diguna semula. Adakalanya buku-buku itu seperti belum disentuh pun.

Ini sangat berbeza dengan barangan yang diterima di kawasan lain yang boleh dikatakan 50%nya adalah sampah dan barangan yang hanya layak dihumbankan ke dalam tong sampah. Dengan pakaian yang buruk, kotor belum dibasuh dan ada yang sudah koyak rabak juga didermakan. Apatah lagi barangan lain, mainan yang sudah rosak, buku yang terkoyak rabak, diconteng disana sini didermakan dengan harapan diberi pahala oleh Allah SWT. Soal dosa pahala memanglah milik Allah. Tetapi mereka ini tidak menyedari yang perbuatan itu menyebabkan pihak IR terpaksa mengeluarkan kos pengurusan mencecah £12 000 sebulan bagi membuang semua sampah sarap itu ke tempat pembuangan sampah yang sepatutnya dapat dilakukan sendiri oleh mereka yang mendermakan sampah sarap tersebut.

Kami sedang mendengar penerangan dari salah seorang petugas Islamic Relief
di dalam kilang pemprosesan pakaian yang diterima dari seluruh UK

Pakaian yang sudah siap diproses (masih elok untuk diguna semula)
di'compress' & dimasukkan ke dalam kontena
bagi penghantaran ke Pakistan

Salah seorang pegawai Islamic Relief yang bermula sebagai sukarelawan
dan bersama Islamic Relief selama hampir 23 tahun

Lihatlah perbezaan pemahaman satu aspek kehidupan sahaja iaitu aspek kebajikan. Bagaimanakah mereka (masyarakat non-Muslim di UK) dipupuk nilai dan kefahaman yang betul tentang kebajikan masih menjadi tanda tanya kepada saya. Menanamkan sifat memberikan sesuatu yang baik atau yang terbaik agar dapat dimanfaatkan oleh mereka yang memerlukan amat susah saya rasa hendak disemaikan di dalam masyarakat kita. Kita lebih tega menyimpan barangan kita sebagai kenangan dan memenuhi setiap ruang di dalam stor dan di dalam rumah daripada menyedekahkan kepada mereka yang lebih memerlukan. Alangkah beruntungnya mereka (non-Muslim) jika mereka ini mempunyai akidah Islam. Bayangkanlah kemurahan hati mereka dan kebaikan yang akan mereka lakukan apabila dijanjikan syurga oleh Allah SWT. Pasti mereka berlumba-lumba memberi apa yang mereka miliki agar dapat dikongsi dengan mereka di luar yang sangat memerlukan.

Demikian sedikit catatan pengembara yang dapat saya coretkan untuk dijadikan teladan dan sempadan bagi mereka yang mahu berfikir. Yang baik sesungguhnya dari Allah SWT dan yang lemah itu adalah dari kekurangan saya sendiri. Semoga bertemu lagi di catatan pengembara yang akan datang. Insya Allah.

[get this widget]

4 comments:

Humyrah said...

benar.. kalau lihat kat negara kita pun, lebih kurang aje bila nak menderma. aduhai..

Min said...

kesian kat kat orang Islam macam kita, tang mana salahnya pendidikan & penerapan nilai memberi dalam pendidikan di rumah, di sekolah dan dan di mana2 kuliah atau ceramah agama. hingga penerapan nilai memberi tu tak sehebat mana pun berbanding mereka yang bukan Islam...

oren said...

nilai moral depa lebih tinggi...

sellau gak pikir nak derma baju, tapi tak tau nk bagi kat sapa/mana? dan sellaunya tanggapan org kita, bila kita derma baju2 tu, mcm kita derma benda yg buruk, yang kita pon takmo dah..padahal, aku rasa, baju2 yang aku nak derma, masih elok dan boleh dipakai..cuma tu lah..tak tau nak buh tang mana/bagi kat sapa?

bayangkan, pusat pengumpulan bahan kitar semula yg ada di merata2 pon, banyak yg berkunci/tak berfungsi..habis tu,camno nak didik rakyat supaya tau kitar semula??

Min said...

oren: betui, min pun baju2 kurung yg lawa2 lagi semua faraid kat adik-adik ja la... nak pakai dah ketat. nak bagi kat orang lain, tak tau nak bagi mcm mana, kita tak access kat msia, badan2 kebajikan tak banyak yg buat mcm kat UK ni, ada kedai2 untuk kumpul dan sort out then jual balik dengan harga yang murah... kalau ada la... sure laku punya, nak cari org yg volunteer nak keja la pulak susah kot... kat msia sapa yang sanggup buat keja tak dak bayaran ni... kan?