15 October 2010

Redha

Ahmad Izzuddin Faheem atau ringkas panggilannya Faheem adalah kawan Mawaddah di sini. Faheem juga dilahirkan di UK, tetapi Faheem dilahirkan 3 hari awal dari Mawaddah. Dia yang dilahirkan dengan 3.8 kg berbeza 2 kg dari Mawaddah yang hanya 1.8 kg ketika dilahirkan. Jadi, boleh dikatakan Mawaddah dan Faheem adalah rakan sebaya. Keinginan untuk menziarahi Faheem sekeluarga sering terbatas kerana masa dan pelbagai lagi perkara yang membataskannya. Bukannya jauh Loughborough dari Leicester, lebih kurang 20 - 30 minit sahaja. Namun, Alhamdulillah, Ahad lepas tercapai jugak hasrat kami sekeluarga menziarahi Lina dan Sham serta anak kesayangan mereka, Faheem. Mereka telah beberapa kali datang ke Leicester, menziarahi Mawaddah ketika Mawaddah terlantar di CICU awal tahun ini dan juga beberapa kali bertemu di rumah kawan-kawan yang lain di sini.

 Faheem di tengah, bersama mawaddah & Ayman
 Lihat la, cergas betul dia... :)

Terharu hati ummi bila kami berkunjung ke rumah Faheem Ahad lepas. Gembira melihat Faheem yang begitu lincah ke sana ke mari, merangkak mensepahkan mainan di ruang tamu rumahnya. Teruja melihat dia begitu berminat dengan buku-buku yang dibelikan ibunya. Jejarinya yang montok menyelak-nyelak helaian buku-buku itu dengan cermat dan matanya merenung tepat ke arah gambar-gambar yang berwarna-warni di dalm buku-buku itu. Apabila dia bosan, dia akan beralih kepada mainan lain. Ketika ibu dan ayahnya berbual dengan kami, dia akan menjerit-jerit kuat seolah-olah meminta diberikan perhatian. Ibunya bercerita yang mereka tidak memerlukan 'baby monitor' jika Faheem tidur di atas, kerana jeritannya ketika bagun dari tidur sudah cukup untuk mengejutkan dan memanggil ibu atau ayahnya yang berada di tingkat bawah rumah mereka.

Merangkak ke sana sini, the young explorer...

Terdetik di sudut kecil hati ummi ini apabila melihat Faheem, beginilah agaknya Mawaddah jika dia anak yang normal. Namun cepat-cepat hati ini juga beristighfar, Astagfirullahal'azim... maafkan ummi Mawaddah, bukan  ummi menyesali apa yang dianugerahkan Allah, tetapi apa yang ummi rasakan adalah naluri manusia biasa yang tak dapat dinafikan. Ibu-ibu yang mempunyai anak-anak yang normal juga akan berperasaan demikian jika melihat anak-anak orang lain yang seusia anak sendiri boleh melakukan itu dan ini, tapi semua itu belum mampu dilakukan oleh anak sendiri. Inikan pula ummi yang dianugerahkan Allah bayi secomel dan seistimewa Mawaddah. Cuma doa dan harapan ummi kepada Allah agar suatu hari kelak Mawaddah juga akan kuat dan cergas seperti Faheem. Ummi akan tunggu sayang, tak kisah lah sama ada ummi perlu menanti sebulan, atau setahun atau sepuluh tahun malah jika ummi perlu menunggu selama-lamanya pun ummi sanggup sayang. Moga Allah SWT terus memberikan ummi kesabaran itu.

REDHA

Redha juga bukan hanya sekadar sepatah perkataan, ia mungkin mudah diungkapkan bagi mereka yang tidak mengalami apa yang dialami oleh mereka yang dinasihati agar redha dan bersabar. Namun bagi ummi perkataan redha itu memberikan seribu makna malah memberikan seolah-olah satu kehidupan baru dalam kehidupan ummi. Ya, ia bukan semudah yang diucapkan, namun jika seseorang itu telah diberikan redha oleh Allah, bersyukurlah kerana tidak semua yang diuji dikurniakan REDHA ini. Melalui Mawaddahlah Allah mendidik ummi untuk mengenal diri, mengenali Pencipta yang Maha Agung yang menjadikan segalanya di muka bumi ini, di langit serta di lautan dan melalui Mawaddah juga ummi diajarkan untuk menjadi insan yang lebih bersyukur dan REDHA dengan setiap ketentuan yang telah Allah tetapkan di Luh MahfuzNya.

Ummi dapat merasakan yang dulunya, jika ummi melihat kanak-kanak sebaya abang-abang Mawaddah sudah dapat melakukan sesuatu yang belum dapat dilakukan oleh mereka berdua, ada sedikit perasaan cemburu atau rasa ingin juga memiliki anak-anak yang mampu melakukan pelbagai perkara secepat kanak-kanak lain. Contohnya, apabila mendengar yang ada kanak-kanak berusia 4 tahun sudah boleh membaca, anak-anak saudara yang sebaya abang Muammar yang sudah boleh berjalan di usia 10 bulan, mereka yang sudah mampu mengenal A,B,C diusia setahun, malah ada yang sudah mula membaca Iqra' diusia 3 tahun dan pelbagai lagi pekembangan kanak-kanak yang menjadi idaman setiap ibu dan bapa. Semua ini dahulunya menjadi kayu ukur ummi bagi pencapaian abang Muammar dan Ayman.

Namun, dengan kelahiran Mawaddah ummi lebih belajar menghargai apa yang ummi miliki kini, ummi belajar bersyukur dengan kemampuan anak-anak ummi. Ummi bangga dengan abang Ayman yang dapat membaca sekarang walaupun usianya sudah mencecah 6 tahun. Ummi tak marah dengan abang Muammar yang agak lambat membaca Al-Quran, dia belum pun masuk juz-2 sejak beberapa bulan lalu. Bagi ummi, biar lambat asalkan dia lancar sepenuhnya. Yang pasti, ummi bersyukur sangat memiliki anak-anak yang amat disenangi guru-guru dan kawan-kawan di sekolah, malah abang-abang Mawaddah sering dijadikan contoh di dalam kelas sama ada di dalam tugasan yang diberikan cikgu maupun menjadi contoh seorang murid yang paling beradab di dalam kelas. Rata-rata kawan-kawan mereka berebut untuk menjadikan mereka 'partner' dalam sebarang aktiviti kelas yang memerlukan pasangan. Ini yang diberitahu sendiri oleh guru-guru kelas abang-abang Mawaddah di Highfield Primary School. Alhamdulillah! Apa lagi yang ummi inginkan...? Itulah doa ummi siang dan malam, agar anak-anak ummi menjadi anak-anak yang soleh dan solehah yang mempu memberikan ketenangan kepada ummi dan ayah apabila kami dijemput 'pergi' ke 'sana' nanti.
Ya Allah! Jadikanlah anak-anak kami anak-anak yang taat akan perintahMu, jauhkanlah mereka dari bahang api nerakaMu. Terangkanlah hati-hati mereka dengan cahaya keimanan, mudahkan mereka menerima segala ilmuMu. Jadikan mereka anak-anak yang akan membahagiakan kami di akhirat kelak... Amin!

Meskipun gembira melihat pekembangan anak-anak normal yang lain, namun Mawaddah, tiada yang perlu  ummi risaukan tentang dirimu nak. Allah tahu apa yang terbaik untuk Mawaddah. Dengan senyuman Mawaddah yang manis menghiasi setiap pagi ummi sahaja, ummi sudah bersyukur sayang. Malah kini Mawaddah mula menunjukkan pekembangan demi pekembangan yang memberansangkan. Meskipun ianya agak terlewat, namun ia tetap satu pekembangan bukan...? Cukuplah bagi ummi bermimpi menginginkan anak yang cemerlang dalam bacaan, Matematik, Science, bahasa. Cukuplah mengidamkan anak yang cemerlang dalam sukan itu dan ini. Sudahlah berangan mempunyai anak yang sentiasa menjadi top 3 dalam kelas, sudahlah ummi. Allah SWT akan memberikan kita apa yang kita layak terima, yang paling penting, didiklah anak mengenal Sang Maha Pencipta, menepati waktu solat, tahu membaca Al-Quran, mempunyai akhlak yang baik dengan ibu bapa, guru-guru, datuk nenek, saudara mara, kawan-kawan dan dengan alam di sekeliling mereka. Bantulah mereka dalam pelajaran, wujudkan persekitaran yang soleh, jangan terlalu memaksa. Insya Allah, selebihnya berserahlah kepada Allah. He knows best!

Wallahua'lam
Ilaahi Anta Maqsudi wa Ridhaka Matlubi

8 comments:

cik ct payung said...

betul tu min, kita ni selalu cemburu dengan kelebihan anak2 org lain. naluri ibu bapa. tak salah kalau cemburu itu kita jadikan motivasi tapi kadangkala cemburu itu menyebabkan kita memaksa anak kita untuk menjadi sesuatu yang melampaui kemampuannya. dan seringkali yang dicemburui itu sesuatu yg bersifat duniawi. sebaiknya, bersyukur dengan apa yang ada sekarang dan berusaha sebaiknya. jika anak kita tidak secemerlang anak org lain jangan diperlekeh sebaliknya didiklah. setiap manusia itu berbeza dan kerana perbezaan itulah kita istimewa. betul tak?

ieda said...

salam...saya dtg menjenguk mawaddah seisi keluarga lagi...
setiap anak punya kelebihan masing2...nothing to worry.

radziah AR said...

syukur atas apa yg dberi olehNYa...
tahniah buat min kerana ketabahan, kesabaran dan ketenangan yg allah limpahkan....kzie sentiasa menjadikan ia panduan...amin
MAWADDAH sayang, umi doakan mawaddah terus dianugerahkan kesihatan yang baik...terkejut jg mmbaca entry sblm ini...semacam merasai dan menyelami perasaan min tika itu...doa mengiringi agar semuanya baik...

mahyudin said...

InsyaAllah, moga kita terus diberi nikmat redha ini, moga kita terus menaruh sepenuh pengharapan, kepercayaan, sangkabaik, serta moga kita sentiasa memanjatkan doa dan harapan kepadaNya. Hanya Dia berkuasa atas segala sesuatu dan Maha Mengetahui segala hal2 ghaib yg tak tercapai dek akal manusia.

Ukhtie Rashidah said...

salam min.
alhamdulillah syukur atas kurniaan.Shidah sentiasa percaya Allah itu Maha Penyayang.Apabila dia memberikan kita sesuai tgjwb,pasti di atas kemampuan bahu kita untuk memikulnya.Semoga keredhaanNya memayungi kita selalu,amin.

iCaLoVeZiE said...

semoga mawaddah sihat sejahtera sentiasa

amni said...

insya ALLAH, berkat doa dan ketabahan kak cik n family, ALLAH akan berikan yang terbaik buat mawaddah.

teringat sangat muammar yang jadi imam tu... rindu laaa..

da da dahhhh... mai balik main dgn kak nauwal

TeacherNunu said...

salam min.lama tak ke sini.sibuk dengan urusan sekolah da anak anak..suka baca coreta awak.ssebab kadang kala saya terleka.coretan awak menyedrkan saya.:)