Malaysia: catatan perjalanan 1
Alhamdulillah syukur aku dan Ayman selamat kembali ke Leicester setelah sebulan pulang ke tanah air lantaran urusan penting yang memerlukan aku wujud secara fizikal di Malaysia bagi melangsaikan urusan berkenaan.
Kuakui, sekiranya ia mampu diuruskan secara maya atau pos tanpa memerlukan aku terbang pulang, pasti itu yang kupilih. Bukan sedikit kos yang dihabiskan untuk tujuan berkenaan, tidak kiralah masa belajar, wang ringgit dan tenaga yang mesti kubayar.
Apatah lagi terpaksa meninggalkan cinta hatiku, isteri dan anak-anak Muammar dan Mawaddah, di Leicester ini. Pasrah dan redha moga Allah permudahkan urusan mereka sepanjang peninggalanku, dan moga Mawaddah sentiasa sihat-sihat sahaja. Paling ku takut sekiranya fits Mawaddah bertandang kembali semasa aku tiada.
Allah sahaja sebaik-baik pembela, dan Allah sahaja sebaik-baik pembantu dan penjaga. Hasbunallah ni’mal wakeel, ni’mal mawla wa ni’man naseer.
Di sebalik semua itu, sudah pasti aku gembira kerana dapat juga pulang akhirnya ke tanah air sendiri biarpun untuk sementara. Dapat jua merapatkan silaturrahim sesama ahli keluarga yang telah lama ditinggalkan. Sepeninggalanku selama permusafiran 2 tahun 7 bulan di bumi asing UK, pelbagai perkara yang telah terjadi sebenarnya.
Paling yang ingin kutemu ialah ayah. Aku ingin peluk erat sosok tubuh ayah, dan cium tangannya.
Hari pertama pulang ke Malaysia, aku ketemu ayah di sebelah petang. Aku peluk ayat erat-erat. Aku cium tangan ayah setiap kali salam dengannya. Ayah sudah tidak kuat seperti dulu. Ayah juga sudah tidak berkerja berat lagi. Walaupun terlibat kemalangan tahun lepas, ayah masih mampu berjalan, walaupun agak terjengket-jengket.
Semasa aku di UK, dua kali ayah terlibat kemalangan motor. Kali kedua pada tahun lepas yang paling teruk sehingga beliau terlantar di hospital, luka di kepala dan retak pada cawan paha. Apatah lagi ketika itu ayah sangat sibuk menguruskan perkahwinan dua adikku. Disebabkan kemalangan berkenaan, ayah menyambut kehadiran dua menantu barunya di hospital. Aku sendiri di sini hampir-hampir membuat keputusan pulang ke Malaysia ketika itu.
Aku terlepas majlis perkahwinan tiga adik-adikku. Dua adikku pada tahun lepas beberapa hari selepas ayah kemalangan, seorang pada tahun ini. Keluarga ayah makin membesar. Ayah memang sentiasa ceria. Bibirnya tak lekang bercerita mengenai anaknya yang itu dan yang ini. Mak pula makin lebar senyumnya kerana sudah punya cucu sendiri.
Menjadi rutin setiap tahun, hari pertama Ramadhan kami adakan majlis berbuka puasa beramai-ramai di rumah ayah. Sungguh meriah keluarga besar kami berkumpul bersama. Ayah mengira anak-anak, menantu dan cucu-cucunya yang hadir, lebih 40 orang. Ayah berkata ketika kami menunggu waktu berbuka, “nanti bila ayah tiada, kalau setiap seorang baca sekali Qulhuwallah pun, ayah dah senang di sana.” Ringkas tazkirah ayah, tapi mendalam.
Syukur pada Allah, kami dapat melakukan iftar jamaie setiap hujung minggu. Di hujung minggu pertama di rumah kak Idah. Di hujung minggu kedua sebelum aku pulang ke UK, sekali lagi semua berkumpul di rumah ayah. Sebelum berbuka, kami adakan bacaan Yaasin dan doa, moga pengajianku tamat seperti dijadualkan, semoga Mawaddah terus sihat dan membesar dengan baik.
Indah suasana ini.
Moga Allah kekalkan nikmat ini. Mempunyai keluarga besar adalah satu nikmat Allah. Bila ahli keluarga besar dapat berkumpul bersama-sama menunjukkan rasa kehambaan pada Pencipta, maka itu juga adalah nikmat Allah. Nikmat yang sangat besar. Maka nikmat Tuhanmu yang manakah lagi yang kau mahu dustakan?
Manakala abah dan mak di Jitra kutemu awal pagi hari pertama apabila tiba di Malaysia. Abah sendiri datang mengambil di stesen bas bersama menantu bongsu beliau, Roslan. Agaknya abah tak sabar bertemu Ayman.
Abah sungguh akrab dengan cucu. Cucu-cucu adalah ubat mujarab abah. Dia sangat suka melayan cucu-cucunya. Ayman kubawa pulang menghilangkan rindu dendam mak abah pada anak mereka yang tak pulang. Abah tersenyum lebar apabila ahli jemaah surau menegur muka cucu yang ini adalah “sebijik” muka wan dia.
Aku dan Ayman disambut dengan gembira. Ia jelas terpancar dari wajah mereka. Merenung dalam-dalam raut wajah mereka, melihat gerak tubuh mereka, jelas memberitahu bahawa mereka semakin meniti usia emas. Namun mereka tetap gigih meneruskan kehidupan.
Walaupun abah menanggung kesakitan setiap hari dek kerana astma, abah tetap gagah mendidik, memberi tunjuk ajar, menunjuk jalan pada anak-anak. Dengan cara abah tersendiri. Mulut abah tak sunyi dari bicara dan kisah. Bait-bait cerita kehidupan sentiasa bersulam nasihat dan pengajaran berguna.
Mak pula sentiasa di sisi abah. Ketaatan mak memang tidak terperi. Air panas untuk abah, air kopi abah. Mengurut belakang abah yang selalu batuk di waktu pagi. Makan pakai abah apatah lagi, itulah ruji hidup mak.
Mak paling awal bangun setiap pagi. Mak akrab dengan ibadat malamnya. Mak tak pernah tinggal dhuha.Tiap-tiap pagi di bulan Ramadhan mak pergi tadarus di surau sehingga jam 11.30. Sebelum ke surau, mak pergi ke pasar dahulu, membeli barang-barang yang diperlukan. Tak lupa juga Harian Metro untuk abah. Kadang-kadang aku temankan, kadang-kadang mak bersendirian.
Tahun lepas juga rumah mak dan abah di Jitra dilanda banjir besar. Aku dan isteri tak dapat membantu apa-apa kerana kami di sini. Proses membersih rumah dan menyediakan kehidupan kembali seperti sediakala selepas musibah banjir amat perit. Kami sudah melihat kesukaran itu pada 2005. Kali ini kami tidak dapat membantu. Hanya doa mampu kami dipanjatkan.
Melihat keadaan rumah abah dan mak, sayu terasa. Seolah-olah mak dan abah sekadar berpada dengan apa yang ada. Mak dan abah cuma mengupah Pak Tam membuat para-para yang tinggi di dinding kedua-dua bilik belakang. Semua barang-barang penting di simpan di atas para berkenaan. Buku-buku Dikma disusun kemas di atas almari tinggalan tok dan di bahagian atas rak buku bilik tok. Takut-takut kalau banjir datang lagi.
Mak dan abah mungkin sudah membenamkan di benak fikiran mereka, “Ahh, apa perlu perabot-perabot dan perhiasan cantik-cantik, cukuplah dengan apa yang ada.” Aku teringat isteriku selalu beritahu bila telefon mak, mak cakap “ala mak dan abah bukannya lama nak hidup. Rumah ni sementara aja ni...”
Tinggi darjat sabar mereka. Qanaah ampuh tertanam dijiwa. Mereka sekadar merasa cukup dengan keperluan-keperluan biasa untuk meneruskan kehidupan seharian. Bencana banjir seolah meragut hasrat hati yang mahukan rumah cantik dihias berseri, perabot-perabot indah dan yang seumpamanya.
Semoga Allah terus memberikan ketabahan dan mengganjarkan kesabaran mereka dengan pahala yang besar.
Adik beradik yang lain juga dapat bertemu menghilangkan rindu. Yang pastinya usia makin bertambah, anak-anak makin membesar. Cabaran hidup dan tanggungjawab semakin berat. Semua meneruskan kehidupan masing-masing. Ada yang baru kahwin, yang baru dapat anak, yang baru pindah rumah, yang baru nak mula pengajian, yang dah tamat pengajian, yang belum dapat kerja, yang baru dapat kerja, yang belajar sambil bekerja.
Pelbagai rencam kehidupan. Semoga urusan semua dimudahkan.
Kini aku kembali ke UK, meneruskan kehidupan yang ku pilih. Tangunggjawab menamatkan pengajian di peringkat akhir tahun ini kurasa amat berat. Mulut ayah, mulut abah dan mak, tak sunyi meratibkan kepulangan anak-anak dan cucu-cucu dari UK hujung tahun ini. Aku diam. Aku rasa satu beban tanggungjawab amat berat di atas bahuku. Banyak lagi tugas yang belum selesai.
Semoga Allah permudahkan urusanku. Mohon doa semua.
Wallahua'lam Ilaahi Anta Maqsudi wa Ridhaka Matlubi
p/s: Lama tidak menulis, sekali tulis panjang pulak!





Abang din, terima kasih tulis ni...sayu. teringat perjuangan orang-orang tua kita. Semoga Allah berikan kesihatan kepada ayah Mat, mak dan abah.
Sedih baca pasai rumah di jitra yang lepas banjir. Allahhummaghfir lana zunubana wa liwalidina warhamhum kama rabbayana sighara...
speechless masa baca semlm, tak tau nak komen apa. terus rindu membuak2 untuk mak abah dan semua di tanahair... Allahuakbar! Kuatkanlah mereka serta kurniakan mereka kesihatan yang baik... Amin.
hati menangis kala membaca...rindu pada orang tua yang telah tiada
Saya sendiri, walau beberapa kali bertemu dengan abah dan mak (amni) sudah terasa rapat dengan mereka.
Beberapa minggu yang lepas, saya dan pakcik (abah Amni) menjaga Nauwal dan anak saya sendiri. Sungguh beliau leka melayan cucu dan juga anak saya. Banyak perkara yang beliau cakap, melekat di hati saya (dan juga suami saya setelah saya ceritakan padanya)
Alhamdulillah kerana diberi kesempatan untuk saling berkenalan.
tulisan pun, ala2 akademik sudah..siap ngan puitis bahasanya..
apa2 pun, kami doakan, semoga semuanya dipermudahkan, semuanya sihat dan dpt kembali ke tanahair tercinta seperti yg dijangka...