04 December 2013

Alhamdulillah! She's 4 today...

Cerita ini belum pernah ummi ungkapkan atau titipkan sama ada di blog kita, di note FB atau di mana-mana. Ummi ingin Mawaddah tahu perasaan ummi di hari kelahiranmu nak. Semoga kelak kau tahu yang dirimu amat ummi kasihi. Ummi nantikan kehadiranmu dengan penuh rasa rindu dan pengharapan untuk kau lahir ke bumi dan berada di sisi ummi, ayah dan seluruh keluarga kita.

3hb Disember 2009;
Catatan ini ummi coretkan di dalam blog sehari sebelum kelahiranmu.

4hb Disember 2009;
Sedari tengah malam semalam ummi diminta berpuasa kerana Pakar O&G yang datang semalam menyatakan yang memang berkemungkinan besar ummi terpaksa melalui pembedahan cesaerean untuk melahirkanmu nak. Sekarang sudah jam 9.00 pagi. Ummi hanya dibenarkan meneguk air kosong kerana masa ummi akan disorong ke 'Delivery Suite' akan tiba bila-bila masa. Seawal jam 7.00 pagi lagi ummi sudah diminta memakai pakaian hospital untuk ke bilik bedah. Hati berdebar Allah sahaja yang tahu. Inilah pembedahan pertama dalam hidup ummi nak. Ummi cuba menenangkan diri dengan membaca selawat dan surah Yaasin. 


Lebih kurang jam 7.30 pagi tadi doktor yang akan melakukan pembedahan ke atas ummi datang membuat pemeriksaan. Kedudukan bayi hanya beralih sedikit iaitu melintang (transverse) perut ummi. Maka melakukan pembedahan adalah pasti kali ini. Doktor juga meminta ummi menandatangani surat persetujuan dibedah selepas menerangkan risiko-risiko pembedahan ini. Allahu musta'an... 

Ayah tiba di wad lebih kurang jam 8.00 pagi. Kami berdua berdebar hakikatnya namun kami cuba menghilangkan debaran itu dengan berbual mengenai perkara lain yang tiada kaitan dengan pembedahan yang bakal berlaku sedikit masa lagi. Ummi sesungguhnya dapat merasakan debaran kencang di dada ummi. Degupan jantung ummi menjadi laju dan sungguh kuat. Allahu Ya Allah...

Tepat jam 10.30 pagi, kelihatan beberapa orang jururawat berpakaian serba biru memasuki bilik ummi dan menuju ke katil ummi. mereka memohon maaf atas kelewatan memandangkan mereka tiba-tiba menerima satu kes kecemasan seawal pagi tadi. Maka pembedahan ummi yang telah dirancang terpaksa ditunda ke sesi berikutnya. Ya, masanya telah tiba. Debaran makin kencang, jururawat berpakaian biru ini menunjukkan mereka datang dari bilik pembedahan atau Delivery Suite di seberang wad Antenatal dan Postnatal yang ummi ditempatkan sekarang. 

Ummi disorong ke satu bilik yang tertulis Delivery Suite. Ayah diminta menunggu di luar bilik itu sehingga dipanggil. Di dalam bilik itu sudah menanti seorang lelaki dan dua orang wanita yang siap berpakaian biru bilik bedah dan juga memakai mask muka. Hanya mata mereka yang kelihatan. Mereka memperkenalkan diri sebagai Anaesthetist iaitu Pakar Bius. Salah seorang daripada mereka menerangkan sekali lagi risiko-risiko bius atau ubat pelali ini. Ummi diberitahu yang ummi hanya akan dibius dari paras dada ke bawah dan ia dipanggil Spinal Anaesthetic atau Epidural. Sejurus kemudian, ummi diminta baring mengiringkan dan melengkungkan badan di atas katil. Terasa satu cecair yang sejuk disapukan dibahagian lumbar di belakang ummi di mana prosedur epidural akan dilakukan. Seketika selepas itu ummi dapat merasakan tusukan jarum yang mengandungi cecair epidural dimasukkan ke belakang ummi.

Alex_recovery.gif
Recovery and Anaesthetic Room (Source)

Alex_theatre.gif
Operating Theatre in Delivery Suite (Source)

Ummi kemudiannya dibenarkan berbaring melentang dan mereka bertanyakan kesan epidural ke atas badan ummi. Masya Allah! Bahagian bahu ummi terasa sakit apabila dicucuk kecil dengan jarum ditangan pakar bius itu, namun di bahagian bawah dada, perut dan seterusnya kaki, rasa sakit itu seolah-olah hilang atau diangkat dari tubuh ini. Bijak sungguh akal yang Allah kurniakan manusia, menciptakan cecair ini yang dapat melumpuhkan seluruh maupun separuh tubuh manusia. Ummi cuba mengangkat kaki apabila diarahkan. Serasakan sudah sehabis daya ummi cuba mengangkat kaki ini, namun kaki ummi tidak sedikit pun bergerak. Allahu Allah! Hebat sungguh penciptaan ini. 

Ummi kemudiannya disorong ke bilik sebelah yang merupakan bilik bedah yang sebenar. Bilik itu sungguh lengkap dengan segala kelengkapan pembedahan. Meja alat-alat pembedahan di sisi katil. Lampu di atas kepala yang besar dan bulat amat menggerunkan. Dapat dilihat juga pelbagai mesin di kiri kanan katil pembedahan. Ummi dialihkan ke katil pembedahan dari katil bilik sebelah tadi. Saat itu, ayah dipanggil memasuki bilik bedah untuk bersama-sama berada bersama ummi. Mulut dan lidah ini tak henti berzikir dan berdoa agar semua ini akan berjalan lancar. Ummi sempat bersalam dan mencium tangan ayah tanpa sepatah kata tanda memohon ampun atas segala salah silap ummi selama menjadi isteri ayah yang sungguh baik buat ummi. Ayah terusan memegang tangan ummi sepanjang pembedahan dijalankan. Ummi tahu yang ayah juga cemas dan cuba untuk kuat di sisi ummi. Hanya kepada Allah kami berserah dan kami meminta...

Mereka yang hampir 7 atau 8 orang di dalam bilik itu kelihatan mempunyai tugasan masing-masing. Mereka kelihatan bersedia apabila doktor bertanya ummi, "Are you ready Asmin?" Ummi mengangguk dan Bismillah... Doktor mula membuat hirisan di kulit ummi. Wallahi, ummi dapat merasakan yang kulit dan bahagian perut ini ditoreh, ditarik dan ditolak sepanjang pembedahan dilakukan, namun tiada langsung rasa sakit yang wujud. Ummi sesekali menjeling pada lampu di atas kepala ummi yang mempunyai bahagian pantulan seperti cermin. Ummi dapat melihat yang darah memenuhi ruang kerja mereka. Allahu Allah. Mulut ummi dan ayah terkumat kamit membaca apa sahaja zikir yang terlintas di kepala.

Tidak sampai setengah jam kemudian, iaitu lebih kurang 15 ke 20 minit sahaja doktor berjaya mengeluarkan tubuh kecilmu ke dunia ini anakku. Jam dinding dalam wad itu menunjukkan pukul 11.15 pagi. Dengan segera jururawat menyambut dan mencuci ruang pernafasanmu dan kedengaran tangisan comel darimu nak... Allahu Akbar! Anakku sudah lahir ke dunia... Alhamdulillah. Jururawat seraya meletakkan tubuh kecilmu di atas dada ummi sebagai sentuhan kali pertama antara kita berdua. Tiada kata yang mampu ummi lafazkan. Hanya air mata kegembiraan dan ucapan syukur ini ummi panjatkan kepada Allah kerana menyelamatkan anak ummi dengan kelahiran ini. Satu ciuman ummi berikan kepadamu wahai pejuang kecil... Selamat datang ke dunia anakku, Mawaddah...

Ini pula sedikit catatan ayah selepas kelahiranmu nak.

Ummi dan ayah serta abang-abang ingin mengucapkan:

Mawaddah, Selamat Hari Lahir yang ke-4. Terima kasih kerana sudi bertamu di hati kami sehingga hari ini. Menyemai bibit cinta dan kasih sayang yang utuh di antara kita. Dikau sungguh istimewa!!!

Setahun

2 tahun

3 tahun

Ni pulak gaya anak dara dah 4 tahun... Terima kasih semua!








Jazakumullah semua yang tak henti mendoakan anak ini, 
hanya Allah sahaja yang berhak membalas kebaikan anda semua itu...

Wallahua'lam 
Ilaahi Anta Maqsudi wa Ridhaka Matlubi

6 comments:

Anonymous said...

Selamat ulangtahun anakanda Mawaddah. Muga seluruh kehidupan mu dan seisi keluarga berada di bawah lembayung rahmat dan kasih sayangNya sentiasa. Ameen...

Anonymous said...

Selamat Ulangtahun Mawaddah. Moga kamu sentiasa berada dalam rahmat Allah.
Untuk ummi dan ayah, saya tidak tahu jika saya boleh menjadi tabah dan redha seperti anda. jika anak menangis2 mengamuk pun saya dah tak keruan, tak tahulah apa yang akan jadi pada saya.. anda berdua insan terpilih untuk menjaga Mawaddah.

-ibu grace-

Dda Ly said...

kak min...;) seronok tgk perkembangan mawaddah sekarang.. hati ni rindu sangat2 ngan dia kak min.. sampaikan peluk cium ye..

Min said...

Anon: Ameen...

Ibu Grace: Anda juga akan menjadi kuat apabila hanya itulah pilihan yang anda ada...

Huda: Rindu Mia juga...

Anonymous said...

Puan ade fb x? Ank sye pn same ade kes mcm ank puan..... Kt malaysia kes ni very rare.... Nk mecari famly yg ade mcm kes ank saye bole kte kongsi2 tips

Asmin said...

sila klik link facebook saya kat tab sebelah kanan bawah iklan nuffnang tu ya. thanks. nanti mesej dulu kata nak friend dating dari blog.